
SIBURAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran sempena Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Zon 2 dalam satu program yang berlangsung meriah di Eastern Mall Siburan, pagi tadi.
Menurut kenyataan media JBPM Negeri Sarawak, kempen tersebut diadakan sebagai langkah proaktif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan kebakaran menjelang sambutan perayaan yang bakal tiba.
Ketua Zon 2 JBPM Sarawak, Gawai John telah menyempurnakan majlis perasmian kempen berkenaan yang turut diserikan dengan gimik ‘flag off’ kenderaan bomba sebagai simbolik permulaan Rondaan Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 di kawasan Zon 2.
JBPM Sarawak menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan kebakaran bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sepanjang musim perayaan.



Berdasarkan pemantauan jabatan, risiko kebakaran lazimnya meningkat ketika musim perayaan, terutamanya berpunca daripada aktiviti memasak yang tidak dipantau, penggunaan mercun dan bunga api, lilin serta colok, pemasangan lampu hiasan yang tidak selamat dan penggunaan peralatan elektrik secara berlebihan.
Menurut kenyataan itu lagi, situasi berkenaan berpotensi mengundang bahaya sekiranya langkah keselamatan tidak diberi perhatian sewajarnya oleh orang ramai.
Sehubungan itu, kempen tersebut dianjurkan sebagai inisiatif berterusan bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan komuniti selain mempererat hubungan strategik antara JBPM dan masyarakat setempat.
Antara pengisian program ialah persembahan tarian singa, agihan goodies Kempen Keselamatan Kebakaran serta demonstrasi pemadaman kebakaran dapur yang dikendalikan oleh pegawai bertugas dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan.
Turut diadakan ialah demonstrasi tatacara penggunaan alat pemadam api yang memberi peluang kepada pengunjung memahami teknik yang betul dalam menangani kebakaran peringkat awal.
Program tersebut melibatkan pegawai dan anggota Pejabat Zon 2 JBPM Sarawak serta BBP Siburan, selain penyertaan kakitangan dan para pengunjung Eastern Mall Siburan dalam usaha bersama memastikan sambutan Tahun Baharu Cina 2026 berlangsung dalam suasana selamat dan terkawal.
Oleh Adi Safarman