

SIBU: Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaikinya dipercayai dihempap sebuah lori simen dalam kemalangan di Jalan Deshon, tengah hari tadi.
Mangsa yang berusia lingkungan 60-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.18 tengah hari.
Menurutnya, sejurus menerima maklumat, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah segera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati benar berlaku kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Toyota Hilux yang dihempap oleh lori simen.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia lingkungan 60 tahun ditemui tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) telah menggunakan beg udara (air bag) bagi membuka ruang untuk menyelamatkan mangsa yang tersepit, namun usaha tersebut tidak berjaya.
“Bantuan kren dari pihak swasta kemudiannya tiba di lokasi bagi mengangkat lori simen, namun tidak berjaya. PKO seterusnya menunggu ketibaan kren kedua untuk bantuan tambahan.
“Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi diteruskan dengan menunggu kenderaan dialihkan bagi tujuan pembersihan jalan,” ujarnya.
Oleh Tarani Lanting