
SIMANGGANG: Satu kemalangan jalan raya maut melibatkan kes langgar lari dilaporkan berlaku di KM7, Jalan Sri Aman, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira 4.30 pagi dan melibatkan kenderaan jenis Perodua Kancil serta sebuah lagi kenderaan yang masih belum dikenal pasti.
Menurut beliau, akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Kancil, Ranggau Berandak, 46, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sri Aman.
Isteri mangsa, pula mengalami kecederaan parah dan kini masih menerima rawatan di hospital yang sama.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai baru selesai menukar tayar kenderaan yang pancit di bahu jalan sebelum dirempuh oleh kenderaan lain yang kemudiannya melarikan diri dari tempat kejadian.
Sehubungan itu, pihak polis menggesa pemandu kenderaan yang terlibat dalam kejadian tersebut supaya tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan juga diminta untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman di talian 083-322121 sambungan 238.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kejadian berkenaan telah disahkan oleh Superintenden Dennis Bunyam.
Oleh Adi Safarman