Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Menara Affin jadi pemangkin keupayaan institusi kewangan moden
  • BISNES

Menara Affin jadi pemangkin keupayaan institusi kewangan moden

Utusan Sarawak 5 hours ago
 PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Majlis Perasmian Menara Affin di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur. Foto UKAS

KUALA LUMPUR: Penubuhan Menara Affin di Tun Razak Exchange disifatkan sebagai langkah strategik yang memperkukuh keupayaan institusi kewangan untuk bertindak lebih pantas, bersepadu dan diyakini dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, persoalan utama dalam konteks semasa bukan lagi sama ada organisasi bergerak ke hadapan, sebaliknya sama ada ia mampu bergerak seiring dengan dunia yang bergerak pantas serta memiliki keupayaan untuk melangkah dengan penuh keyakinan.

Menurut beliau, gangguan serentak melibatkan teknologi, geopolitik, tekanan kos, perubahan iklim, persaingan bakat dan pasaran menuntut institusi kewangan melakukan lonjakan keupayaan, bukan sekadar penambahbaikan secara berperingkat.

“Dalam persekitaran sebegini, penambahbaikan kecil tidak lagi mencukupi untuk mengekalkan daya saing. Apa yang diperlukan ialah perubahan langkah melalui sistem yang dipertingkat, pelaksanaan lebih tegas serta kesiapsiagaan untuk bergerak pantas apabila keadaan menuntut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara Affin di Tun Razak Exchange, di sini, hari ini.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Majlis Perasmian Menara Affin di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur. Foto UKAS

Premier Sarawak menegaskan bahawa ibu pejabat korporat tidak seharusnya dilihat hanya sebagai sebuah bangunan fizikal, sebaliknya berperanan sebagai ‘enjin’ operasi yang menetapkan piawaian membuat keputusan, kecekapan pergerakan serta tahap kepercayaan terhadap sesebuah institusi.

Katanya, penyatuan operasi Affin daripada beberapa bangunan kepada satu menara bersepadu membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas, selain meningkatkan kecekapan merentas perbankan komersial, perbankan Islam dan keupayaan pelaburan.

Dengan hampir 3,000 warga kerja ditempatkan di satu lokasi, beliau berkata tanggungjawab utama kini adalah memastikan keupayaan tersebut diterjemahkan kepada pengalaman pelanggan dan perniagaan yang konsisten serta dirasai setiap hari.

Mengulas peranan institusi kewangan moden, beliau menjelaskan terdapat tiga teras utama yang perlu diperkukuh, iaitu pengalaman pelanggan yang intuitif dan pantas, integriti institusi dalam persekitaran digital serta keupayaan ekonomi untuk menyokong perniagaan produktif dan pembangunan komuniti.

Dalam pada itu, beliau berkata kedudukan Menara Affin di pusat kewangan serantau seperti TRX turut memperkukuh peranannya sebagai platform untuk mempercepatkan pembuatan keputusan, meningkatkan keterhubungan serta memperkukuh keyakinan pasaran.

Beliau menambah, menara berkenaan memenuhi ciri-ciri pusat kewangan moden termasuk status bangunan hijau, keupayaan digital serta pensijilan kelestarian, sekali gus mencerminkan komitmen untuk beroperasi secara bertanggungjawab, cekap dan berpandangan jangka panjang.

Berkongsi hala tuju pembangunan Sarawak, beliau berkata negeri ini memberi penekanan kepada pertumbuhan berteraskan tujuan, mampan dan disokong institusi kewangan yang kukuh bagi membolehkan perniagaan tempatan berkembang, melabur dan bersaing.

“Keberadaan Sarawak di sini bukan bersifat simbolik. Kami mahu menjadi rakan strategik kepada pertumbuhan Sarawak dan Malaysia,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Lembaga Dana Masa Depan Kekayaan Berdaulat Sarawak telah menubuhkan pejabatnya di Kuala Lumpur di Menara Affin sebagai langkah awal, dan mengalu-alukan lebih banyak institusi Sarawak untuk bertapak di lokasi sama pada masa hadapan.

Selain itu, beliau menyambut baik pengiktirafan pasaran terhadap prestasi Affin Bank Berhad, termasuk pengekalan penarafan kredit A3 oleh Moody’s serta peningkatan penarafan FTSE4Good daripada tiga kepada empat, yang mencerminkan prestasi kemampanan dan tadbir urus yang lebih kukuh.

Mengakhiri ucapannya, beliau merakamkan tahniah kepada Lembaga Pengarah, pengurusan dan warga kerja Affin, sambil menyatakan keyakinan bahawa pembangunan Menara Affin akan memperkukuh keupayaan institusi tersebut, menyokong ekonomi sebenar dan memberi manfaat jangka panjang kepada Sarawak serta rakyatnya.

Hadir sama Pengerusi Affin Bank Berhad, Datuk Agil Natt, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah, Setiausaha Kewangan Sarawak, Datuk Seri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan dan Pembangunan Ekonomi), Datuk Seri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel serta Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman.

Tags: Bisnes

Continue Reading

Previous: Hotel Tanahmas terus diiktiraf sebagai mercu tanda industri hospitaliti, rakan komuniti
Next: Pelaburan Sarawak dalam Affin sokong pembangunan ekonomi mampan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.