
SIMANGGANG: Presiden Kelab Tinju Tidal Bore (TBBC) Sri Aman, Awangku Hafizi Awang Azahari, melahirkan rasa bangga apabila tiga petinju kelab itu berjaya disenaraikan ke pemilihan akhir bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Tiga petinju TBBC Sri Aman yang terpilih ialah Muhammad Irfan Mohamad Ishak bagi kategori 57 kilogram, Mohd Zulkarnain Iswandy (54kg) dan Eurinia Jackie Joachim (57kg).
Lebih membanggakan, Mohd Zulkarnain Iswandy yang juga petinju muda berbakat besar berjaya meraih pingat emas selepas menewaskan pencabar dari Zon Utara, Hyson Chrisley Sedie, dalam kategori 54 kg pada kejohanan tinju Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 yang baharu sahaja melabuhkan tirainya, petang tadi.
Awangku Hafizi berkata pencapaian itu membuktikan hasil latihan berterusan, disiplin tinggi serta komitmen padu barisan jurulatih dan atlet TBBC Sri Aman dalam membangunkan sukan tinju secara sistematik.

Menurutnya, kejayaan menempatkan tiga petinju ke pemilihan akhir SUKMA 2026 merupakan satu pencapaian signifikan buat kelab itu, memandangkan saingan sengit daripada atlet-atlet terbaik dari seluruh negeri.
Beliau turut menyifatkan kejayaan Mohd Zulkarnain meraih pingat emas sebagai petanda awal potensi besar atlet muda tempatan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi, termasuk kejohanan kebangsaan dan antarabangsa.
Awangku Hafizi menegaskan pihak kelab akan terus memperkukuh program pembangunan atlet dengan sokongan pelbagai pihak agar prestasi cemerlang ini dapat diteruskan, sekali gus menyumbang kejayaan kepada kontinjen negeri pada SUKMA XXII Selangor 2026.
Sementara itu, Residen Bahagian Sri Aman yang juga Timbalan Pengerusi SUKSAR IV 2026, Mahra Salleh, memuji keputusan yang membanggakan daripada kem tinju Zon Barat yang menyumbang satu emas, lima perak dan enam gangsa, sekali gus muncul naib juara keseluruhan.
Kejayaan ini katanya adalah hasil kerja keras, disiplin, pengorbanan dan sokongan berterusan daripada pihak pengurusan, jurulatih serta semua penyokong.
Beliau mengatakan amat berbangga dan terharu melihat perkembangan positif dan kemajuan pesat sukan tinju di Sri Aman, yang kini semakin menyerlah di peringkat negeri.
Lebih membanggakan, empat petinju Zon Barat telah terpilih dalam senarai panjang ke SUKMA XXII Selangor 2026.
Tiga petinju tersebut adalah dari TBBC Sri Aman dan seorang petinju daripada Kelab Tinju Joseph Harry (JHBC) Saratok, sekali gus membuktikan bahawa Zon Barat kini berada di landasan yang tepat menuju kecemerlangan diperingkat tertinggi.
Turut hadir ialah Pengurus Tinju Zon Barat, Joseph Harry; Ketua jurulatih Zon Barat, Kamaruddin Mohamad dan pembantu jurulatih, Joe Engkujat.
Oleh Adi Safarman