
LINGGA: Said Amit secara rasmi dipilih sebagai Ketua Kaum Kampung Melayu Bakong yang baharu selepas memenangi sesi pemilihan yang berlangsung di Gelanggang Futsal Kampung Melayu Bakong, petang tadi.
Proses pemilihan tersebut mencerminkan amalan demokrasi di peringkat akar umbi apabila penduduk setempat hadir dengan komitmen tinggi bagi menentukan kepimpinan kampung untuk penggal akan datang. Sepanjang proses berlangsung, semua prosedur ditetapkan telah dipatuhi bagi memastikan ketelusan dan kelancaran pemilihan.
Keputusan rasmi menyaksikan Said Amit meraih kemenangan dalam pertembungan sengit menentang pencabarnya, Rahman Meludin, yang disifatkan sebagai antara persaingan paling rapat dalam sejarah pemilihan kampung berkenaan.

Hasil kiraan akhir menunjukkan Said memperoleh 71 undi, manakala Rahman mendapat 70 undi, sekali gus memberikan kemenangan tipis dengan majoriti satu undi sahaja.
Mengulas kemenangan tersebut, Said menzahirkan rasa terharu dan bersyukur atas kepercayaan yang diberikan oleh penduduk Kampung Melayu Bakong.
Menurutnya, sokongan padu komuniti setempat membuktikan semangat kekeluargaan dan perpaduan yang masih kukuh dalam kalangan penduduk kampung.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penduduk yang meluangkan masa untuk hadir mengundi, sambil menyifatkan penyertaan mereka sebagai faktor penting dalam memastikan peralihan kepimpinan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Majlis pemilihan itu turut disaksikan oleh Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani, sekali gus menambah kredibiliti dan ketelusan proses pemilihan yang dijalankan.
Sebagai ketua kampung yang baharu dilantik, Said menegaskan bahawa jawatan tersebut bukan satu keistimewaan, sebaliknya amanah dan tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan penuh integriti.
Beliau menegaskan matlamat dan misinya adalah untuk memajukan serta membangunkan Kampung Melayu Bakong, di samping bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan termasuk wakil rakyat, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), agensi kerajaan serta mana-mana pihak berkepentingan demi kebaikan dan keselamatan penduduk kampung.
Oleh Adi Safarman