Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Pelajar disaran bina keyakinan dan ketahanan mental sejak di sekolah
  • PENDIDIKAN

Pelajar disaran bina keyakinan dan ketahanan mental sejak di sekolah

Utusan Sarawak 6 hours ago
UNTUK ALBUM… Kevin Lau (berdiri tujuh kiri) merakam kenangan bersama peserta Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah (MSS) Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu 2026 di SMK Bawang Assan, hari ini.

SIBU: Para pelajar disaran membina keyakinan diri, ketahanan mental serta pemikiran positif sejak di bangku sekolah sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan yang semakin mencabar.

Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu, Kaunselor Kevin Lau berkata, nilai berkenaan perlu dipupuk awal kerana ia menjadi asas penting dalam pembentukan sahsiah, disiplin dan jati diri generasi muda.

Menurutnya, ketahanan mental merupakan elemen utama dalam melahirkan generasi yang berdaya saing, berdisiplin serta berakhlak mulia, selari dengan keperluan pembangunan masyarakat masa kini.

“Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan semua murid agar mengamalkan gaya hidup sihat dan menjauhkan diri daripada gejala tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah serta ketagihan penggunaan peranti elektronik secara berlebihan.

“Kesihatan fizikal dan mental perlu sentiasa diutamakan demi kesejahteraan diri serta masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah (MSS) Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu 2026 yang berlangsung di SMK Bawang Assan, di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai acara tersebut, katanya, kejohanan merentas desa bukan sekadar acara sukan, malah platform penting untuk menguji kecergasan fizikal di samping mengasah ketabahan, disiplin dan kecekalan diri dalam kalangan murid.

Tambahnya, penganjuran kejohanan itu turut memberi peluang kepada murid untuk berinteraksi dengan rakan daripada sekolah lain, sekali gus memupuk semangat kerjasama, saling menghormati dan perpaduan dalam kalangan generasi muda.

“Nilai murni ini perlu bermula dari peringkat sekolah kerana ia menjadi tunjang kekuatan masyarakat dan seterusnya negeri Sarawak,” katanya sambil menyifatkan murid bukan sahaja pemimpin masa depan, malah pemimpin masa kini.

Pada kejohanan itu, SMK Nanga Dap muncul juara keseluruhan bagi kategori lelaki dan perempuan.

Bagi kategori lelaki, tempat kedua dimenangi SMK Sacred Heart manakala tempat ketiga oleh SMK Ulu Balingian.

Bagi kategori perempuan pula, SMK Saint Elizabeth menduduki tempat kedua sementara SMK Sedaya di tempat ketiga.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Sibu, Ahli Chikba; Pengetua SMK Bawang Assan, Kong Chiong Hui; wakil PPD Kanowit, Willy Johnson; wakil PPD Selangau, Mathew Enkramat; Timbalan PPD Sibu (Sektor Pembangunan Murid), Jeremy Ling Beng Leh serta Timbalan Yang Dipertua PIBG SMK Bawang Assan, Nicholas Paing.

Oleh Tarani Lanting

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Swinburne Sarawak, Mango Media Borneo anjur bengkel berimpak tinggi
Next: Tun Wan Junaidi terima kunjungan hormat delegasi OUM

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.