
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin menegaskan komitmennya dalam menyelesaikan isu akar umbi melalui libat urus secara langsung dan tindakan tegas semasa lawatan kerja ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sam Hap Hin, Batu 7, di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025.
Projek bernilai RM70,000 itu melibatkan kerja naik taraf tembok penahan dan pagar perimeter sekolah dan dijadualkan siap pada atau sebelum 25 Mei ini.
“Perwakilan yang berkesan bermula dengan mendengar di lapangan dan disusuli dengan tindakan. Isu infrastruktur yang melibatkan keselamatan sekolah tidak boleh ditangguhkan, sebab itu pemantauan rapi serta kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor amat penting,” katanya.
Beliau berkata projek tersebut bertujuan menangani kebimbangan keselamatan yang telah lama wujud di kawasan sekolah, khususnya berkaitan kestabilan tanah dan keselamatan pelajar.
Dalam lawatan sama, Yap turut menyerahkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada lembaga sekolah bagi menyokong program pendidikan dan pembangunan pelajar.
“Pembangunan bukan sekadar struktur fizikal, tetapi juga pelaburan dalam pendidikan anak-anak kita. Dengan mendengar keperluan pihak sekolah dan bertindak sewajarnya, kita memastikan tiada isu yang terlepas pandang,” katanya.
Yap menegaskan beliau akan terus memantau kemajuan projek tersebut dan kekal mudah dihubungi oleh pihak sekolah serta ibu bapa bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar dan mencapai hasil yang berkesan.
Oleh Connie Chieng