
SIBU: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa insiden tragis yang mengorbankan tiga kanak-kanak di Sibu Jaya, semalam.
Dalam satu kenyataan hari ini, MDLBS berdukacita dengan kejadian tersebut serta memahami kesedihan dan kebimbangan yang dirasai masyarakat susulan insiden tersebut.
“Pada saat yang sukar ini, kami menggesa agar semua pihak menunjukkan sikap prihatin, sensitif dan menghormati privasi keluarga yang terlibat sementara pihak berkuasa menjalankan siasatan yang sewajarnya,” katanya.
MDLBS memaklumkan bahawa kejadian berlaku di kawasan yang merupakan sebahagian daripada projek pembangunan yang sedang dijalankan dan perkara itu kini berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa berkaitan yang sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti keadaan sebenar insiden.

Sehubungan itu, MDLBS menegaskan komitmennya untuk memberi kerjasama penuh kepada agensi serta pihak berkepentingan yang terlibat.
Majlis turut menyatakan kesediaan untuk terus bekerjasama dalam meningkatkan kesedaran keselamatan awam serta memperkukuh langkah pencegahan, khususnya di kawasan yang berpotensi mendatangkan risiko.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada dan memastikan kanak-kanak berada di bawah pengawasan rapi, terutama di kawasan tapak pembinaan, berdekatan badan air serta lokasi lain yang berbahaya.
“MDLBS sekali lagi merakamkan ucapan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberi kekuatan serta ketabahan menghadapi saat yang amat mencabar ini,” katanya.
Oleh Akun Giman