
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM150 juta baki peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun 2025 tidak dibelanjakan atau tidak dituntut oleh penerima sehingga tarikh luput 31 Disember 2025, dan dana tersebut akan diagihkan semula kepada kumpulan sasar lain.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengagihan semula dana itu akan disalurkan antaranya kepada penghuni pusat perlindungan termasuk mangsa keganasan rumah tangga di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan pelajar berkeperluan khas di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) serta pesakit miskin di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).
Selain itu, peruntukan berkenaan turut melibatkan penubuhan dan pengukuhan bank masakan dapur siswa dengan peruntukan khusus RM15 juta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Amir Hamzah berkata, sepanjang tahun 2025, nilai transaksi perbelanjaan SARA di pasaran tempatan mencecah RM4.8 bilion, dengan 99 peratus penerima menggunakan bantuan tanpa tunai itu melalui MyKad.
Beliau berkata, daripada peruntukan RM5 bilion bagi SARA bulanan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR), hampir 5.6 juta penerima menggunakan MyKad untuk membeli barangan keperluan asas di premis berdaftar rakan niaga MyKasih.
“SARA merupakan bantuan tanpa tunai yang disalurkan dalam bentuk kredit melalui MyKad dan boleh digunakan untuk membeli 14 kategori barangan keperluan asas. Pendekatan ini membolehkan kerajaan memantau pelaksanaan program secara berkesan dan memastikan bantuan dimanfaatkan mengikut tujuan ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Amir Hamzah turut memaklumkan bahawa bagi SARA sekali bayar, lebih 21 juta rakyat Malaysia atau 96 peratus penerima telah membuat perbelanjaan dengan nilai transaksi melebihi RM2.05 bilion di pasaran tempatan.
Menurutnya, peningkatan peruntukan STR dan SARA dari tahun ke tahun mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh jaringan keselamatan sosial bagi membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.
“Pengagihan semula baki dana ini memastikan ketelusan dan kecekapan pengurusan kewangan awam, di samping memperkukuh sokongan kepada kumpulan rentan selaras dengan prinsip keadilan sosial dan kemanusiaan,” katanya.
-Bernama