
SAMALAJU: Kerajaan negeri komited memastikan kebajikan rakyat luar bandar terus diberi perhatian, khususnya dalam aspek perumahan dan keselamatan komuniti.
Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi ketika mengadakan lawatan kerja bagi meninjau pelaksanaan projek Program Perumahan Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) di Rumah Man Andoh, Batu 21, Jalan Bintulu–Miri, semalam.
Datuk Majang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju turut meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk rumah panjang serta mendengar secara langsung pandangan dan keperluan komuniti setempat berkaitan kesejahteraan hidup dan kemudahan asas.

Menurut kenyataan Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Samalaju, beliau turut turun padang ke Rumah Bennet Sepadok, Bintulu bagi meninjau perkembangan projek membaik pulih kawasan tanah runtuh yang sedang dilaksanakan di rumah panjang berkenaan.
Lawatan tersebut bertujuan memastikan kerja-kerja pembaikan berjalan lancar mengikut perancangan serta mengambil kira aspek keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat, menurut kenyataan itu.
Oleh Adum Liu