
PETRA JAYA: Stigma masyarakat terhadap kehamilan luar nikah dikenal pasti sebagai antara punca utama remaja menyembunyikan kehamilan sehingga mendedahkan bayi kepada risiko pembuangan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Beliau berkata, terdapat kes di mana remaja enggan memaklumkan kepada ibu bapa atau keluarga apabila hamil kerana takut dihukum dan dipulau, sekali gus menyebabkan proses kehamilan dan kelahiran berlaku secara tersembunyi.
“Kita tidak mahu perkara ini berlaku. Sebab itu pendekatan kita bukan menghukum, tetapi menyelamatkan nyawa ibu dan bayi. Melalui penyediaan peti pelindung bayi (baby hatch), identiti ibu dilindungi dan bayi dapat diselamatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) di Wisma Wanita, di sini, hari ini.
Menurut Fatimah, penyediaan kemudahan peti pelindung bayi merupakan sebahagian daripada strategi OSTPC untuk mengurangkan kes pembuangan bayi, di samping memastikan remaja yang terlibat diberi peluang memulakan kehidupan baharu dengan sokongan kebajikan dan kesihatan yang sewajarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pengurusan kes kehamilan remaja memerlukan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Agama Islam (JAIS) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya bagi kes yang melibatkan jenayah seksual.
“Kita menguruskan kes ini secara menyeluruh, bukan hanya dari segi kesihatan ibu dan anak, tetapi juga dokumentasi, kebajikan serta hala tuju masa depan remaja tersebut,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan advokasi berterusan melalui program berasaskan komuniti dan sekolah bagi menangani punca akar kehamilan remaja, termasuk keciciran sekolah dan kurang pendedahan kepada pendidikan kesihatan reproduktif.
Oleh Shahrul Qaizat