
SIMANGGANG: Pertubuhan Meninggikan Akhlak (PMA) Chee Chuan Khor Simanggang telah mengadakan lawatan ke Pusat Pemilihan Dalam Komuniti (PPDK) di Kompleks Penyayang Sri Aman semalam, bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba pada Februari ini.
Lawatan yang diketuai oleh Alice Wee itu bertujuan menyerikan suasana bagi 40 pelatih dan kakitangan PPDK Sri Aman. Semasa lawatan, rombongan PMA Chee Chuan Khor Simanggang beramah mesra dengan para pelatih sebelum menyampaikan angpau serta sumbangan makanan.
Alice Wee berkata, lawatan tersebut merupakan aktiviti tahunan Pergerakan Wanita PMA Chee Chuan Khor Simanggang bagi memastikan para pelatih turut merasai kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina.
“Dengan lawatan ini, kami berharap hati setiap pelatih di PPDK Sri Aman dapat diceriakan dan terus bersemangat menjalani aktiviti harian di pusat ini,” kata Alice.

Sementara itu, Pengerusi PPDK Sri Aman, Mas Mashore Maslem, menyatakan harapan agar lebih banyak persatuan atau pertubuhan tampil memberi sokongan dan keceriaan kepada para pelatih.
“Jika lebih banyak pihak tampil, ia akan memberi impak positif terhadap usaha kita untuk membangunkan kehidupan para pelatih yang mengikuti aktiviti harian di PPDK Sri Aman,” katanya.
Lawatan tersebut menekankan kepentingan komuniti menyokong para pelatih serta memastikan mereka turut menikmati sambutan perayaan walaupun berada di pusat latihan.
PMA Chee Chuan Khor Simanggang dilihat terus komited dalam menyemai nilai kemanusiaan dan semangat komuniti melalui aktiviti-aktiviti kebajikan seperti ini.
Rombongan turut mengambil peluang mengadakan sesi interaksi ringan dengan pelatih, menjadikan suasana lebih mesra dan meriah.
Lawatan ini adalah sebahagian daripada program tahunan PMA Chee Chuan Khor Simanggang yang bertujuan membangunkan semangat positif dalam kalangan pelatih PPDK di seluruh Sarawak.
Oleh Adi Safarman