
LAWAS: Seramai 11 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merapok akan mewakili Zon Utara dalam acara sepak takraw wanita pada Kejohanan Sukan Sarawak (SUKSAR) 2026, yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 8 Februari ini.
Penyerahan jersi Kontinjen Sepak Takraw Wanita Zon Utara telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Merapok, Julkipli Tangah, kepada ketua pasukan dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Dewan Aspirasi, SMK Merapok, baru-baru ini.
SMK Merapok turut berperanan sebagai pusat latihan sepak takraw bagi Zon Utara, dengan sesi latihan intensif yang dijalankan sejak tahun lalu.
Latihan ini bukan sahaja sebagai persediaan menghadapi SUKSAR 2026, malah juga dijadikan persiapan jangka panjang untuk Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.
Pasukan ini diuruskan oleh Safli Japar dan dilatih oleh Fathan Akhbar, serta turut dibarisi tiga bekas pelajar SMK Merapok yang kini masih aktif beraksi dalam skuad elit Sarawak, sekali gus memperkukuh pasukan melalui gabungan tenaga muda dan pengalaman.
Lebih membanggakan, ketiga-tiga atlet skuad elit tersebut iaitu Suzila, Connie dan Nisa Kwan telah menerima insentif SUKMA Sarawak sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan prestasi serta potensi mereka untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Berdasarkan kejayaan meraih tempat ketiga bersama pada peringkat kebangsaan sebelum ini di Pusat Sukan UiTM Shah Alam, kontinjen sepak takraw wanita Zon Utara kini menyasarkan untuk membawa pulang tiga pingat emas pada SUKSAR kali ini.
Oleh Adeng Idris