
SIMANGGANG: Seorang lelaki warga emas bersama anak saudaranya maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan van dalam kemalangan tragis di Jalan Sri Aman–Lingga, kira-kira 6.20 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintendan Dennis Bunyam, mengesahkan kedua-dua mangsa yang maut dikenali sebagai seorang lelaki warga emas berumur 60 tahun dan anak saudaranya yang berumur 12 tahun.
Mangsa katanya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gran Stumbin.
“Pemandu van terbabit, seorang warga emas berumur 77 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan media.
Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan untuk memastikan tiada unsur kecuaian lain yang terlibat.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang memperuntukkan tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebabkan kemalangan maut akibat kecuaian memandu.
Polis turut menasihatkan orang awam supaya memandu dengan berhati-hati terutama di jalan raya yang sempit dan berliku seperti Jalan Sri Aman-Lingga bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Oleh Adi Safarman