
SIBU: Seorang warga emas lelaki cedera akibat letupan kecil berpunca daripada kebocoran gas petroleum cecair (LPG) di rumah Lorong Sibu Jaya 20, di sini, hari ini.
Ketua Zon Sibu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Andy Alie berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.31 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya dikerahkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada 3.35 petang dan mendapati berlaku letupan kecil akibat kebocoran pada adaptor tong gas LPG, dengan anggaran kemusnahan kira-kira 30 peratus tanpa melibatkan kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa lelaki berusia 75 tahun mengalami kecederaan melecur dan telah dikejarkan ke Hospital Sibu oleh ahli keluarganya sebelum ketibaan pasukan bomba.
Menurutnya, tindakan operasi termasuk pemeriksaan menyeluruh di bahagian dapur, bilik tidur serta kawasan luar rumah dengan anggota memakai pakaian operasi lengkap dan alat pernafasan.
“Pengudaraan dilakukan dengan membuka pintu dan tingkap rumah sebelum tong gas LPG yang terlibat dikeluarkan ke luar bagi memastikan tiada kebocoran berterusan,” katanya.
Andy berkata, pasukan bomba turut memasang sawar keselamatan serta mengambil maklumat mangsa dan premis sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.02 petang selepas keadaan disahkan terkawal.
Tambah beliau, kejadian itu melibatkan lima penghuni rumah terdiri daripada dua warga emas, dua dewasa dan seorang remaja, namun hanya seorang mangsa mengalami kecederaan.
Oleh Tarani Lanting