
BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu menahan kapal kargo selepas didapati gagal mematuhi syarat perlesenan ketika beroperasi di perairan Bintulu, kira-kira 2.7 batu nautika di barat laut muara Sungai Kemena, semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, penahanan itu dilakukan oleh aset rondaan Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op PERMAI 01/2019, Op TIRIS 3.0 dan Op Pelantar Merah 03/2023.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati kapal kargo berkenaan dikendalikan oleh tiga kru termasuk seorang nakhoda warga India, dua kru warga tempatan serta seorang kru warga Indonesia dengan lingkungan usia antara 26 hingga 65 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kapal tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 60(1)(d) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal mengibarkan bendera Malaysia ketika pemeriksaan dijalankan.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda atau kompaun mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” jelasnya.
Kapal kargo bersama kru dan dokumen berkaitan telah ditahan serta diiring masuk ke Pusat Tahanan Kapal Tunda Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan perkapalan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan pelayaran serta kepentingan perairan negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat, aduan atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian 999, Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544,” katanya.
Oleh Carolyne Utih