
BEKENU: Seramai 84 individu terlibat dalam proses pelantikan baharu dan pelanjutan semula Ketua Masyarakat Ketua Kaum (KMKK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu.
Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan Baharu dan Pelanjutan Semula itu telah diadakan di Pejabat Daerah Subis hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, daripada jumlah tersebut, seorang telah dilantik sebagai ahli Ketua Masyarakat baharu iaitu tuai rumah kini selaku Penghulu Michael Balo Jaul bagi kawasan Niah.
Beliau yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menambah, manakala tiga individu dilantik sebagai Ketua Kaum ialah Saidon Suhaili (Kampung Padang Niah), Sarifah Nafsiah Wan Johar (Kampung Masjid Niah) dan Christopher Gait Bangga (Ulu Semelau Niah).

Selain itu, seramai lima ahli KMKK menerima pelanjutan semula tempoh perkhidmatan manakala 66 Ketua Kaum turut disambung pelantikan mereka.
Dalam masa yang sama, seramai lapan individu telah menerima penghargaan atas sumbangan dan khidmat bakti mereka kepada komuniti setempat.
Pelantikan dan pelanjutan semula ini bertujuan memperkukuh pentadbiran di peringkat kampung serta memastikan kesinambungan kepimpinan akar umbi demi kesejahteraan penduduk di kawasan DUN Bekenu.
Sijil-sijil tersebut telah disampaikan oleh Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis dan disaksikan oleh Datuk Rosey Yunus.
Oleh Adum Liu