
SIBU: Anak-anak Sarawak diingatkan agar sentiasa mengingati asal-usul serta terus mempertahankan maruah Sarawak yang kini semakin dihormati hasil pembangunan mampan dan kepimpinan berwawasan.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, Sarawak hari ini jauh berbeza berbanding 10 atau 20 tahun lalu, dan negeri ini kini menjadi tumpuan serta contoh kepada negeri lain.
“Sarawak kini menjadi tumpuan dan contoh kepada negeri lain. Anak Sarawak bukan sahaja tidak lagi dipinggirkan, malah semakin dihormati,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Penyerahan Notis dan Sijil Pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Sibu di salah sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menegaskan, pelantikan KMKK amat penting kerana jawatankuasa tersebut merupakan wakil sebenar rakyat di peringkat akar umbi dan berperanan sebagai penghubung antara masyarakat dengan kerajaan.
“Pelantikan KMKK bukan sekadar gelaran seperti kapitan, pemanca atau penghulu, sebaliknya satu amanah dan tanggungjawab besar yang mencerminkan kepercayaan serta penghormatan masyarakat terhadap individu yang dilantik,” ujarnya.
Dr Sim berkata, semangat Sarawak tidak hanya diukur melalui kekayaan semata-mata, sebaliknya melalui maruah, kestabilan, perpaduan dan rasa hormat yang dibina.
“Kini, Sarawak dihormati kerana kestabilan, perpaduan dan kemajuan yang dicapai. Kerajaan Sarawak juga memberi keutamaan kepada pendidikan dan pembangunan modal insan, termasuk pemberian bantuan kewangan kepada pelajar universiti dengan pemberian wang saku RM1,200 kepada semua anak Sarawak tanpa mengira latar belakang pendapatan,” jelasnya.
Menyentuh tentang sektor kesihatan, Dr Sim berkata, Sarawak terus mencatat kemajuan dengan pelbagai inovasi perubatan yang dibangunkan di Sibu dan Kuching, termasuk penglibatan pakar tempatan yang memilih untuk berkhidmat di negeri ini walaupun berpeluang berkhidmat di luar negara.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri menyokong usaha menjadikan Sarawak sebagai hab pendidikan dan kesihatan serantau, termasuk cadangan kerjasama dengan institusi pendidikan perubatan bertaraf antarabangsa.
“Kejayaan Sarawak hanya dapat dicapai melalui perpaduan, integriti dan kerjasama semua pihak dalam menangani setiap isu rakyat tanpa mengira besar atau kecil,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng, Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting, serta yang lain.
Oleh Akun Giman