
SIMANGGANG: Zon Barat (Sri Aman, Betong, Sarikei) mempertaruhkan seramai 11 petinju harapan untuk memburu pingat pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman bermula 5 hingga 8 Februari ini.
Ketua Jurulatih Tinju Zon Barat, Kamaruddin Mohamad berkata, kesemua petinju terpilih itu terdiri daripada lapan atlet Kelab Tinju Tidal Bore (TBBC) Sri Aman, dua daripada Kelab Tinju Simanggang (KTS) serta seorang wakil Kelab Tinju Joseph Harry (JHBC) Saratok.
Menurut beliau, lapan petinju TBBC Sri Aman yang terpilih ialah Nelson Ningkai Sibat (51 kilogram), Mohd Zulkarnain Iswandy (54kg), Muhd Irfan Mohd Ishak (57kg), Fam Ching Sing (63.5kg), Feinstein Fabrian (67kg), Tristan Aeden Minggu (71kg), Mohamad Azimi Firdaus Saifudin (75kg) serta wakil petinju wanita, Eurenia Jackie (57kg).

Sementara itu, dua petinju daripada KTS ialah Maurice Malcom Uging (60kg) dan Dayang Faikah Awang Abu (52kg), manakala JHBC Saratok diwakili oleh Felhzcha Emelda Ejin dalam kategori 48 kilogram.
Kamaruddin berkata, tahap persiapan pasukan tinju Zon Barat ketika ini berada pada tahap terbaik dan berjalan lancar walaupun latihan intensif hanya dimulakan sekitar dua minggu lalu.
Menurutnya, latihan yang dijalankan secara berfokus dan berdisiplin memberi keyakinan kepada barisan kejurulatihan terhadap keupayaan petinju untuk memberikan saingan sengit sepanjang kejohanan itu nanti.

Walaupun berdepan cabaran besar daripada pasukan lain yang lebih berpengalaman, beliau tetap optimis anak buahnya mampu memberikan persembahan terbaik dan mengharumkan nama Zon Barat.
“Pasukan kita telah menjalani latihan intensif di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman dan 11 petinju ini akan diuji dalam lapan kategori lelaki serta tiga kategori wanita,” katanya kepada Utusan Sarawak, hari ini.
Beliau turut berharap SUKSAR IV 2026 dapat menjadi pentas penting untuk petinju muda mempamerkan bakat, potensi serta hasil latihan yang telah dijalani sepanjang tempoh persediaan.
“Misi utama kita adalah memastikan petinju kita mendapat ‘tiket’ ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 melalui persembahan cemerlang di pentas SUKSAR IV nanti,” katanya.
Dalam pada itu, pasukan tinju Zon Barat dikendalikan oleh Joseph Harry selaku pengurus pasukan, Kamaruddin Mohamad sebagai ketua jurulatih, dibantu Joe Engkujat dan Nur Azreen Abdullah sebagai penolong jurulatih.
SUKSAR IV 2026 menyaksikan sebanyak 11 acara sukan dipertandingkan di beberapa lokasi utama di Bahagian Sri Aman dan Betong.
Selain tinju, acara ping pong, bola keranjang, karate dan sofbol akan berlangsung di Sri Aman, manakala sepak takraw dan taekwondo diadakan di Lubuk Antu.
Empat lagi acara iaitu angkat berat, berbasikal, bola jaring dan taekwondo pula dijadualkan berlangsung di Betong, sekali gus menjadikan SUKSAR IV 2026 sebagai medan penting pembangunan sukan di peringkat akar umbi Sarawak.
Oleh Adi Safarman