Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Lei Lei dan Xiao Xiao dihantar pulang ke China
  • GLOBAL

Lei Lei dan Xiao Xiao dihantar pulang ke China

Utusan Sarawak 4 weeks ago
PANDA gergasi Xiao Xiao dilihat bersantai di kandangnya pada hari terakhir tontonan awam sebelum berlepas ke China, di Zoo Ueno, Tokyo, pada 25 Januari 2026. Foto AFP

TOKYO: Ratusan orang hadir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dua panda kesayangan Jepun yang pulang ke China pada Selasa, meninggalkan negara itu tanpa panda buat pertama kali dalam lima dekad di tengah hubungan tegang dengan jiran Asia.

Panda berkembar, Lei Lei dan Xiao Xiao, keluar dariTaman Zoologi Ueno menggunakan trak meninggalkan rasa sedih dalam kalangan peminat Jepun.

“Saya datang melihat mereka sejak lahir,” kata Nene Hashino, seorang wanita berusia 40-an yang memakai jaket bertema panda sambil memegang mainan beruang, kepada AFP.
“Rasanya seperti anak saya dihantar jauh. Sangat menyedihkan.”

SEBUAH trak yang dipercayai membawa panda berkembar berlepas dari Zoo Ueno di Tokyo pada 27 Januari 2026, menuju ke perjalanan pulang ke China. Foto AFP

Pengumuman pemulangan mendadak panda dibuat bulan lalu sewaktu ketegangan diplomatik tercetus, selepas Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, memberi amaran Tokyo mungkin campur tangan secara ketenteraan terhadap sebarang serangan ke atas Taiwan.

Komen beliau mencetuskan kemarahan Beijing, yang menganggap pulau itu sebagai wilayahnya sendiri.

Sebagai sebahagian daripada program “diplomasi panda” China, panda hitam-putih yang unik ini telah menjadi lambang persahabatan antara Beijing dan Tokyo sejak hubungan diplomatik dinormalisasi pada 1972.

PEMINAT panda melambaikan tangan mengucapkan selamat tinggal kepada sebuah trak dipercayai membawa panda semasa berlepas dari Zoo Ueno di Tokyo pada 27 Januari 2026. Foto AFP

Pemulangan mereka dilakukan sebulan sebelum tempoh pinjaman berakhir pada Februari, menurut Kerajaan Metropolitan Tokyo, yang menguruskan Zoo Ueno.

“Menurut perjanjian yang berkuat kuasa antara China dan Jepun, panda gergasi yang tinggal di Jepun, Xiao Xiao dan Lei Lei, hari ini memulakan perjalanan pulang ke China,” kata Guo Jiakun, jurucakap Kementerian Luar China.
“Seperti biasa, kami mengalu-alukan orang ramai untuk datang melihat panda gergasi dari China.”

Dilaporkan Jepun sedang berusaha mendapatkan pinjaman pasangan panda baharu.

Namun, tinjauan hujung minggu oleh akhbar liberal Asahi Shimbun menunjukkan 70 peratus responden berpendapat kerajaan tidak perlu merundingkan pinjaman panda baharu dengan China, manakala 26 peratus menyokongnya.

Pada Ahad, Zoo Ueno menjemput kira-kira 4,400 pemenang bertuah cabutan bertuah dalam talian untuk melihat panda itu buat kali terakhir. – AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Timbalan Ketua Menteri Maharashtra maut dalam nahas pesawat
Next: Bekas Wanita Pertama Korea Selatan dihukum penjara 20 bulan akibat rasuah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.