
SIBU: Penduduk Rumah Panjang (Rh) Anne Saging di Pasai Siong, di sini bakal menikmati kemudahan tempat letak kenderaan baharu yang lebih teratur dan selamat.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie telah menyaksikan penyerahan tapak projek tersebut kepada kontraktor hari ini.
Menurutnya, penyerahan tapak itu menandakan permulaan rasmi projek penting yang bertujuan meningkatkan tahap keselamatan penduduk serta memperbaiki pengurusan lalu lintas di kawasan berkenaan.
Lau memberitahu, isu kekurangan kemudahan parkir telah dibangkitkan oleh penduduk ketika sambutan Gawai Mangkung Tiang yang dianjurkan oleh rumah panjang tersebut pada Jun tahun lalu.
“Kekurangan tempat letak kenderaan telah menyebabkan kesesakan lalu lintas dan menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk serta pengguna jalan raya,” katanya.
Susulan itu, katanya, jurutera Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) dengan bantuan Kaunselor Jeksen Chuban telah menjalankan pemeriksaan tapak bagi menilai keadaan sebenar di lapangan serta mencadangkan langkah penambahbaikan yang bersesuaian.


Beliau berharap penduduk akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Pasukan kami akan terus memantau dan menyelia kemajuan projek sehingga siap bagi memastikan kualiti pembinaan memenuhi piawaian ditetapkan serta memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk,” katanya.
Oleh Akun Giman