KEMENANGAN 4-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi Liga Super malam kelmarin berjaya mengubat duka Terengganu FC (TFC) yang sebelum ini kalah tiga kali berturut-turut.
Ketua jurulatih TFC Nafuzi Zain mengakui anak buahnya semakin hilang keyakinan selepas tewas di tangan Melaka United, Johor Darul Ta’zim dan UiTM FC dan ia merupakan masalah utama skuad itu sebelum perlawanan pada malam kelmarin.
“Empat gol malam ini sudah sangat baik untuk kembalikan semangat pasukan menghadapi dua lagi perlawanan nanti. Apabila gol berjaya dijaringkan, pemain akan lebih yakin dan memberi mereka semangat untuk mencari lebih gol,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Namun, Nafuzi berkata kemenangan itu tidak menjadikan skuad Penyu terlalu yakin menghadapi Felda United, Sabtu depan (3 Oktober) meskipun ‘The Fighters’ tewas 1-5 kepada Perak malam kelmarin.
“Lain pasukan lain kekuatannya, semuanya berbeza, seperti sebelum ini kita (TFC) menang dengan Sabah namun dengan UiTM FC mungkin ada yang menjangkakan kita menang mudah tetapi kita tewas akhirnya. Jadi walaupun mereka (Felda United) kalah malam tadi (Jumaat) ia bukan satu kepastian kita akan menang nanti,” katanya.
Perlawanan malam tadi menyaksikan TFC mudah meraih tiga mata menerusi kemenangan empat gol melalui jaringan kapten pasukan Lee Andrew Tuck dan pemain kelahiran Singapura Muhammad Faris Ramli, yang masing-masing menyumbangkan dua gol.
Sementara itu, Ketua Jurulatih PDRM Mohamad Ishak Kunju Mohamad mengambil tanggungjawab atas kekalahan pasukannya yang sekali gus menutup peluang ‘The Cops’ dalam saingan Liga Super musim depan.
Mohamad Ishak turut mengakui pemainnya tidak menunjukkan aksi sebenar sehingga menyebabkan mereka pulang dengan tangan kosong.
“Mungkin apa yang saya cuba hendak buat apabila berlawan dengan Terengganu tidak menjadi, dan saya rasa aksi pemain saya tidak cukup tajam dan tidak cukup agresif.
“Mereka tidak berikan yang maksimum. Mungkin juga faktor pemilihan pemain yang saya buat,” katanya.- Bernama