

MIRI: Seramai 60 pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri menyertai program pematuhan keselamatan kebakaran yang dikendalikan Balai Bomba Dan Penyelamat Lutong di Kompleks Zon Maritim di sini hari ini.
Program dari 8.30 pagi hingga 11.30 pagi itu merangkumi ceramah keselamatan kebakaran di bangunan, kawad pengungsian serta demonstrasi penggunaan alat pemadam api dan simulasi kebakaran melibatkan tong gas.
Ketua BBP Lutong, Henry Jugah berkata program berkenaan bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan dan kefahaman peserta mengenai tindakan awal ketika kecemasan kebakaran.
Latihan dan pendedahan secara praktikal dapat meningkatkan kefahaman peserta mengenai tindakan awal ketika kecemasan kebakaran serta penggunaan peralatan pemadam api dengan betul.
Program itu turut diselaraskan bersama pengurusan APMM Zon Maritim Miri yang diketuai Leftenan Komander Maritim Muhd Firdaus Saniman dan Leftenan Muhammad Syafeeq Minhad.
Oleh Liong Chai Ling