
LIMBANG: Projek Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Limbang dijadualkan siap sepenuhnya menjelang Jun 2026.
Setakat ini projek berkenaan telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 85.52 peratus.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki memberitahu, IAC Limbang bakal menjadi nadi yang lebih dinamik kepada pembangunan pentadbiran serta ekonomi di bahagian itu.

Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja rasminya ke tapak projek berkenaan baru-baru ini bagi meninjau sendiri status semasa pelaksanaan projek strategik itu.
Lawatan ini merupakan manifestasi komitmen berterusan kepimpinan negeri dalam memastikan setiap projek pembangunan utama dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan serta memberi impak maksima kepada rakyat.

BERI TEGURAN… Mohamad Abu Bakar kelihatan memberi teguran agar beberapa bahagian struktur binaan diperkemaskan.
Terdahulu beliau melakukan tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pandaruan diikuti lawatan ke tapak cadangan Projek Pembinaan Kuarters Kerajaan.
Turut serta Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal serta pegawai-pegawai kanan pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak.
Oleh Adeng Edris