
TINJAR: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil mengadakan sesi dialog berkenaan projek menurap jalan Ulu Teru Tinjar bersama JKR Miri, Jabatan Tanah dan Survei Miri, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta pihak ladang di Ulu Teru di sini, semalam.
Menurut Penguang, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, projek dengan kos siling RM60 juta ini merupakan salah satu projek rakyat yang telah lama dinanti-nantikan oleh penduduk di sini.
Tegasnya, ia melibatkan kerja-kerja naik taraf serta penurapan jalan utama Ulu Teru, yang sebelum ini merupakan jalan gravel/tanah.
“Apabila siap kelak, ia akan memberi manfaat kepada 14 rumah panjang, sebuah sekolah dan sebuah klinik. Selain itu, jalan ini juga boleh digunakan oleh penduduk dari Sg Nat dan Sg Lamah sebagai laluan alternatif kepada Jalan Kilometer 10,” tambah beliau.
Katanya, projek ini dijangka siap dalam masa dua tahun, merangkumi jarak 23.4 kilometer dan turut melibatkan pembinaan tujuh jambatan.
Turut hadir Pegawai Daerah Beluru Charles Aloysius Lisau, ADE Development JKR Miri, Cliff Jude, Jurukur Tanah, Nur Izzam Azlan, Pegawai Penguasa Pejabat Daerah Kecil Tinjar, SAO Deo Kenneth, Pengerusi Majlis Daerah Marudi, Kaunselor Edward Mendai, ahli-ahli majlis dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Sg Lamah dan Sg Nat.
Oleh Jiku Juguong