
LIVERPOOL: Penyerang Everton, Thierno Barry, meneruskan sentuhan panasnya dengan jaringan lewat permainan untuk menyelamatkan keputusan seri 1-1 menentang Leeds dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.
Skuad kendalian David Moyes dicemuh penyokong sendiri ketika rehat separuh masa selepas James Justin meletakkan Leeds di hadapan di Stadium Hill Dickinson.
Namun Barry meredakan kekecewaan penyokong Everton apabila menyempurnakan penyudah tenang 14 minit sebelum tamat perlawanan.
Pemain berusia 23 tahun itu kini meledak empat gol dalam lima perlawanan liga terakhir, selepas hanya menjaringkan satu gol dalam 18 penampilan awal sejak berpindah dari Villarreal tahun lalu.
“Jika anda penyerang tengah, anda perlu menjaringkan gol dan pada awalnya dia belum melakukannya. Sekarang dia semakin baik,” kata Moyes.
“Dia berlatih dengan baik dan sudah mula biasa menjaringkan gol. Kami perlu cipta lebih banyak peluang dan masih berusaha mendapatkan semula pemain menyerang.”
Everton kini berada di tangga ke-10, manakala Leeds kekal enam mata di atas zon penyingkiran.
Tekanan memuncak ke atas Leeds selepas kemenangan West Ham dan Nottingham Forest pada hujung minggu, menjadikan kegagalan mempertahankan kelebihan ini satu peluang yang terlepas buat pasukan Daniel Farke, yang sebelum ini hanya tewas sekali dalam 10 perlawanan liga.
“Kami agak kecewa kerana tidak jauh untuk menang. Kami sangat dominan pada separuh masa pertama,” kata Farke.
“Ia persembahan baik di tempat lawan. Tiada apa yang dicapai lagi, kami perlu teruskan dan kekal rendah diri.”- AFP