
BINTANGOR: Polis menahan tiga lelaki tempatan selepas didapati positif dadah dalam satu Ops Tapis Khas yang dijalankan di kawasan bandar Bintangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering berkata, tangkapan dilakukan kira-kira 9.10 pagi, melibatkan suspek berusia 26, 31 dan 35 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
“Ketiga-tiga suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong untuk siasatan lanjut dan hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati kesemua mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil semakan rekod lampau turut mendapati kesemua suspek masing-masing mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Tegas beliau, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan berkaitan dadah dan memandang serius penularan masalah itu dalam kalangan masyarakat.
“Orang ramai diminta agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan dadah di daerah Meradong bagi membantu pihak polis membanteras jenayah ini,” katanya.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Balai Polis Bintangor di talian 084-693222.