
KUALA LUMPUR: Perbuatan doxing atau mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata prinsip perlindungan data peribadi adalah terpakai kepada semua individu tanpa mengira latar belakang, pandangan atau situasi semasa dan tidak boleh dijadikan alasan untuk tindakan balas dendam, ugutan atau gangguan dalam talian.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa perbuatan menyebarkan, mendedahkan atau memaparkan maklumat peribadi seseorang tanpa kebenaran termasuk alamat kediaman, nombor telefon, nombor pengenalan diri dan maklumat keluarga adalah satu perbuatan jenayah dan tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan,” katanya.
Beliau berkata perbuatan itu boleh disiasat mengikut beberapa peruntukan sedia ada termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 serta Seksyen 507E, 507F (1) atau 507F (2) Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Mohd Khalid mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk penyebaran maklumat peribadi serta mengamalkan etika dan bertanggungjawab dalam penggunaan platform digital.
“PDRM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati melanggar undang-undang berkaitan, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan keselamatan awam,” katanya.
Mohd Khalid berkata PDRM mengambil maklum mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung penyebaran maklumat peribadi seorang individu menerusi platform dalam talian baru-baru ini.
Menurut laporan media, Saifuddin Nasution menasihati orang ramai agar tidak melakukan sebarang ugutan, gangguan dalam talian atau mendedahkan maklumat peribadi bekas wartawan sebuah portal berita serta ahli keluarganya, susulan kenyataan lelaki berkenaan pada satu forum baru-baru ini.- Bernama