LOUISVILLE: Dua anggota polis ditembak ketika berlakunya tunjuk perasaan mempertahankan kematian wanita kulit hitam, Breonna Taylor, semalam.
Ketua Polis interim, Robert Schroeder, berkata
dua anggota terbabit kini sedang dirawat di hospital dengan seorang daripadanya sudah stabil manakala seorang lagi sedang dipantau rapi.
Tunjuk perasaan itu diadakan selepas pihak berkuasa hanya mendakwa seorang sahaja polis yang terbabit dalam insiden menembak mati Breonna, pada Mac lalu.
Taylor menjadi simbol pergerakan ‘Black Lives Matter’ dan penunjuk perasaan menggesa supaya sebarang bentuk penindasan oleh polis, dihentikan.
Taylor mati ditembak apabila tiga pegawai polis berpakaian biasa melakukan penggeledahan tanpa mengetuk pintu dan waran, bertindak menyerbu kediamannya pada lewat malam.
Kejadian itu menyebabkan penunjuk perasaan membanjiri jalan raya di New York, Boston, Washington dan Los Angeles menuntut keadilan untuk Taylor.
Presiden Donald Trump yang berkempen dalam pilihan raya di atas platform undang-undang dan ketenteraman, turut membuat ciapan di akaun Twitter rasminya, mendoakan kesihatan dua anggota polis yang cedera ditembak.
“Kerajaan berdiri teguh di belakang anda dan sedia membantu,” katanya. – AFP