Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Helikopter persiaran hilang di barat daya Jepun, disyaki terhempas
  • GLOBAL

Helikopter persiaran hilang di barat daya Jepun, disyaki terhempas

Utusan Sarawak 7 hours ago
FOTO ini menunjukkan kawasan berhampiran kawah di Gunung Aso di Wilayah Kumamoto, tempat sebuah helikopter persiaran hilang, pada 20 Januari 2026. (Foto Agensi

KUMAMOTO (Jepun): Sebuah helikopter yang membawa pelancong dilaporkan hilang berhampiran kawah gunung berapi di Gunung Aso, Wilayah Kumamoto di barat daya Jepun pada Selasa, dengan serpihan pesawat kemudiannya ditemukan di kawasan berkenaan, lapor Kyodo News memetik bomba tempatan dan sumber lain.

Tiga orang berada di dalam helikopter itu,  iaitu dua penumpang – seorang lelaki dan seorang wanita warga Taiwan – serta juruterbang warga Jepun berusia 64 tahun. Pesawat itu berlepas dari sebuah zoo di Aso pada 10.52 pagi.

Menurut pengendali helikopter berkenaan, Takumi Enterprise yang berpangkalan di Okayama,  barat Jepun, hubungan dengan pesawat itu terputus kira-kira 10 minit selepas berlepas.

Helikopter model Robinson R44 buatan Amerika Syarikat itu sedang dalam rangka penerbangan pelancongan selama 10 minit. Setakat ini, nasib ketiga-tiga individu berkenaan masih belum diketahui.

Pihak berkuasa tempatan telah menghubungi organisasi Taiwan di Fukuoka memandangkan terdapat maklumat bahawa kedua-dua penumpang berkenaan merupakan pelancong.

Syarikat pengendali memaklumkan helikopter itu sedang dalam penerbangan ketiga bagi hari itu dan tiada sebarang kejanggalan dilaporkan semasa dua penerbangan terdahulu. Juruterbang pesawat itu pula dikatakan mempunyai pengalaman lebih 40 tahun.

Zoo berkenaan, Aso Cuddly Dominion, menawarkan perkhidmatan helikopter untuk melihat pemandangan panoramik kawasan itu yang terkenal dengan landskap gunung berapi.

Anggota bomba berkata objek yang rosak teruk menyerupai badan helikopter ditemukan sejurus selepas 4.00 petang di sebuah cerun di dalam kawah Gunung Nakadake, satu daripada lima puncak yang membentuk Gunung Aso.

Menurut pihak Muzium Gunung Berapi Aso, keadaan cuaca di kawasan itu pada pagi Selasa adalah berawan, menyebabkan penglihatan ke arah Gunung Nakadake agak terbatas.

Seorang lelaki berusia 60-an yang bertugas memantau kawasan larangan masuk berhampiran kawah berkata: “Saya terdengar bunyi letupan kuat sekitar 11.00 pagi, tetapi tidak nampak apa yang berlaku kerana keadaan berkabus.”

Pada Mei 2024, sebuah helikopter persiaran daripada  zoo yang sama pernah melakukan pendaratan cemas di pergunungan Aso yang mengakibatkan tiga orang cedera. – Bernama-Kyodo

Continue Reading

Previous: Indonesia siasat nahas pesawat ATR 42 di Gunung Bulusaraung
Next: Hujan lebat dan banjir jejaskan 600,000 penduduk di Mozambique, 50 maut

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.