Lewis Hamilton bersedia untuk menyamai rekod 91 kemenangan Michel Schumacher di Formula Satu (F1) menjelang Grand Prix (GP) Russia Ahad ini walaupun terdapat kebimbangan penularan wabak Covid-19 selepas penganjur membenarkan kehadiran 30,00 penonton.
Juara dunia enam kali itu kurang satu kemenangan untuk menyamai rekod Schumacher yang dilihat agak sukar untuk ditandingi sebelum ini.
Bagaimanapun, dia berada dalam landasan terbaik untuk mengatasi rekod berkenaan bersandarkan kepada kejayaan meraih empat kejuaraan dunia dalam tempoh enam tahun.
Dia juga mencatatkan enam kejuaraan sembilan perlumbaan musim ini untuk mengungguli kedudukan keseluruhan dengan perbezaan 55 mata mengatasi rakan sepasukan Mercedes, Valtteri Bottas.
Hamilton, yang disenarai sebagai salah satu daripada 100 orang paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time memulakan perlumbaan dengan rendah diri.
“Saya tidak pernah menyangka bahawa saya akan berada di sini, itu pasti,” katanya selepas kemenangan karier ke-90 di Grand Prix Tuscan dua minggu lalu.
“Rasanya tidak nyata bagi saya.”
Saingan terhebatnya pada hujung minggu berkemungkinan datang dari rakan sepasukan Bottas, yang mencatatkan kemenangan sulungnya di litar Sochi pada 2017.
Selain Hamilton danBottas, satu-satunya pelumba lain yang pernah meraih kejuaraan di Sochi ialah bekas pelumba Mercedes, Nico Rosberg sejak perlumbaan di negara berkenaan kembali diletakkan dalam kalendar F1.
Jika Mercedes berjaya mencatat kejayaan lagi di Sochi sejarah akan tercipta dengan menjadi satu-satunya pasukan paling banyak muncul juara dalam satu GP.
Penganjur berkata setakat ini 30,000 penonton dijangka hadir menyaksikan perlumbaan itu dan tiket untuk GP Russia sudah habis terjual. AFP