
SARATOK: Seorang lelaki tempatan yang mempunyai sembilan rekod jenayah lampau ditahan polis selepas ujian air kencingnya didapati positif dadah dalam satu serbuan di Kabong, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie, mengesahkan tangkapan itu dilakukan melalui operasi bersepadu melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Saratok.
Menurut DSP Mathew, operasi bermula sekitar 2.00 petang hasil maklumat awam dan risikan polis.
Pasukan diketuai Inspektor Asraf melakukan pemeriksaan ke atas seorang lelaki berusia 27 tahun yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Ujian air kencing awal menunjukkan suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
DSP Mathew menjelaskan bahawa suspek merupakan ‘muka lama’ dengan sembilan rekod jenayah lampau berkaitan pelbagai kesalahan.
Suspek kini dibawa ke Balai Polis Saratok untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, lelaki itu berdepan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.
Oleh Adi Safarman