
LAWAS: Sembilan warga asing ditahan dalam Ops Sapu dan Ops Kutip yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Lawas di rumah kongsi tidak bernombor di Kampung Long Sebangang Asal, di sini, baru-baru ini.
JIM Lawas dalam satu kenyataan berkata operasi dijalankan pada 11.30 malam hasil maklumat dan aduan orang awam.
Operasi berkenaan telah dilaksanakan oleh sepasukan penguat kuasa Imigresen Lawas sebagai tindakan segera bagi menangani isu kehadiran warga asing yang disyaki melanggar peruntukan undang-undang imigresen.

“Tindakan pantas ini mencerminkan kesungguhan jabatan dalam memastikan pematuhan undang-undang serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Seramai sembilan lelaki warga asing telah diperiksa dan ditahan dalam kedua-dua operasi tersebut.
“Siasatan lanjut mendapati semua individu berkenaan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan ditahan untuk siasatan serta tindakan lanjut,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, JIM Lawas akan terus komited dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang imigresen serta meningkatkan pemantauan dari semasa ke semasa.
“Kerjasama dan keprihatinan orang awam dalam menyalurkan maklumat amat dihargai demi menjamin keselamatan, kedaulatan negara serta kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.
Oleh Adeng Edrus