
MIRI: Penduduk Rumah Vincent, Rumah Philip, Rumah Mugang dan Rumah Jipun di kawasan Tanjung Upar di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu, kini menikmati bekalan elektrik 24 jam selepas projek Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Sarawak (RES) bernilai RM7.1 juta berjaya dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata projek tersebut mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan masyarakat di pedalaman tidak tercicir daripada arus pembangunan walaupun berada jauh dari pusat bandar.
“Ini merupakan hari yang amat bersejarah buat penduduk di sini. Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha menyediakan kemudahan asas seperti elektrik, bekalan air bersih dan jalan perhubungan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat di pedalaman,” katanya pada Majlis Perasmian Kemudahan Elektrik Baharu di Rumah Vincent, Tanjung Upar Marudi, dekat sini hari ini.
Gerawat yang juga merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh,Imigresen dan Pemantauan Projek) berkata, kejayaan projek itu turut membuktikan kepimpinan Tuai Rumah Vincent yang baik serta kerjasama erat penduduk yang sentiasa berganding bahu demi kesejahteraan komuniti mereka.
Menyentuh isu banjir, beliau berkata cadangan pemindahan penduduk ke kawasan lebih tinggi masih dalam peringkat penelitian berikutan tapak cadangan sebelum ini bertindih dengan tanah persendirian.
Menurutnya, sistem bekalan air bersih akan diserahkan kepada pihak Lembaga Pembangunan Perumahan (HDA) untuk dinilai dan diteliti bagi memastikan penduduk dapat menikmati kemudahan air yang lebih terjamin.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan peruntukan RM3,000 sepintu kepada lapan pintu bilik Rumah Vincent bagi membantu kerja penambahbaikan rumah.
Selain itu, geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN N78 Mulu sebanyak RM5,000 diluluskan bagi pembinaan jalan simen ke sungai yang akan dilaksanakan secara gotong-royong oleh penduduk.
Beliau berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Vincent menerima RM7,000 bagi aktiviti tahunan, manakala Unit Sistem Informasi Desa Sarawak (SIDS) Rumah Vincent menerima RM4,000 untuk pembelian kipas siling yang akan digunakan di ruai rumah panjang.
Oleh Liong Chai Ling