Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Salah gagal sempurnakan penalti
  • SUKAN

Salah gagal sempurnakan penalti

Utusan Sarawak 7 hours ago
SEPAKAN penalti pemain Liverpool mewakili Mesir, Mohamed Salah diselamatkan penjaga gol Nigeria, Stanley Nwabali. Foto AFP

CASABLANCA (Maghribi): Ademola Lookman muncul wira Nigeria apabila menyempurnakan sepakan penalti penentuan untuk memastikan kemenangan 4-2 ke atas Mesir dalam penentuan sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Kejayaan Super Eagles di Casablanca itu hadir selepas kekecewaan mereka tewas dalam penentuan penalti yang menafikan peluang beraksi di Piala Dunia 2026 serta final AFCON 2025.

Nigeria sebelum ini tewas menerusi penalti kepada Republik Demokratik Congo pada November lalu dalam ‘play-off’ kelayakan ke perlawanan antara benua Piala Dunia.

Tiga hari lalu, mereka sekali lagi dikecewakan selepas tewas dalam penentuan penalti kepada tuan rumah, Maghribi, pada aksi separuh akhir AFCON.

Kemenangan ini mengekalkan rekod sempurna Nigeria dalam perlawanan penentuan tempat ketiga AFCON, dengan tujuh kemenangan daripada tujuh penampilan sebelum ini.

Sebelum Lookman menyempurnakan sepakan terakhir, Fisayo Dele-Bashiru gagal menyempurnakan sepakan pertama Nigeria.

Namun, Akor Adams, kapten Moses Simon dan Alex Iwobi berjaya menyumbat gol.

Bagi Mesir, dua pemain Liga Perdana Inggeris, Mohamed Salah dan Omar Marmoush, menyaksikan sepakan mereka diselamatkan penjaga gol Nigeria, Stanley Nwabali, sebelum Ramy Rabia dan Mahmoud Saber menjaringkan gol saguhati.

Mesir melakukan enam pertukaran dalam kesebelasan utama, manakala Nigeria membuat lima perubahan berbanding pasukan yang tewas pada separuh akhir kepada Senegal dan Maghribi, masing-masing, tiga hari sebelum itu.

Kapten Mesir, Salah, diturunkan sejak awal perlawanan, namun penjaga gol utama Mohamed El Shenawy dan penyerang Marmoush hanya bermula di bangku simpanan.

PENJAGA gol simpanan Nigeria, Amas Obasogien, mengangkat Stanley Nwabali yang menyelamatkan dua sepakan penalti dalam kemenangan ke atas Mesir pada perlawanan penentuan tempat ketiga AFCON. Foto AFP

Bagi Nigeria pula, Victor Osimhen dan Lookman, kedua-duanya bekas pemenang anugerah Pemain Terbaik Afrika, bermula sebagai pemain simpanan.

Sebahagian besar penyokong Maghribi dalam hampir 45,000 penonton di Stade Mohammed V memberi sokongan kepada Nigeria.

Mereka mencemuh setiap kali Mesir menguasai bola dan apabila jurulatih Mesir, Hossam Hassan, dipaparkan di skrin besar, dipercayai berpunca daripada persaingan sengit antara Maghribi dan Mesir di peringkat negara serta kelab.

Gol dibatalkan

Nigeria dan Mesir masing-masing menguasai permainan dalam separuh masa pertama yang berakhir tanpa jaringan pada malam yang dingin dan berawan di bandar komersial Maghribi itu.

Paul Onuachu menyangka dia membuka jaringan pada minit ke-36 selepas menanduk bola melepasi penjaga gol Mesir, Mostafa Shobeir.

Namun, semakan VAR oleh pengadil dari Maghribi mendapati Onuachu secara tidak sengaja menyiku Hamdy Fathy. Gol dibatalkan dan Onuachu dilayangkan kad kuning.

Lookman dimasukkan pada separuh masa kedua menggantikan Onuachu dan berjaya meledak gol pada minit pertama babak kedua, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.

Nigeria tampil lebih agresif selepas rehat dan Shobeir, anak kepada bekas penjaga gol Mesir, Ahmed Shobeir, dipaksa bekerja keras melakukan beberapa penyelamatan penting.

Salah gagal memberi ancaman ketara, manakala Marmoush dimasukkan selepas sejam permainan bagi menambah sengat serangan Mesir.

Namun, sehingga 10 minit terakhir, Osimhen masih tidak diturunkan, menandakan penyerang itu mungkin belum cergas sepenuhnya.

Kedua-dua pasukan mempunyai peluang di penghujung perlawanan, namun Adams dan Marmoush gagal menyudahkan peluang masing-masing.

Salah turut mengecewakan apabila sepakan percuma di luar kotak penalti terkena benteng pertahanan sebelum dikeluarkan. – AFP

Continue Reading

Previous: Arteta berang Arsenal dinafikan penalti

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.