
BINTANGOR: Pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong berjaya menahan seorang lelaki berusia 41 tahun kerana disyaki terlibat dalam kegiatan dadah dalam satu operasi khas yang dijalankan di kawasan bandar ini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering, berkata tangkapan tersebut dibuat sekitar 10.50 pagi oleh sepasukan anggota Petugas Khas IPD Meradong ketika melaksanakan operasi bersepadu Ops Tapis.
“Suspek telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan dadah sebelum dibawa ke IPD Meradong untuk siasatan lanjut.
“Saringan ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau kesalahan berkaitan dadah sebelum ini.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pihak polis memandang serius kesalahan penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat.
“Kerjasama orang ramai amat penting dalam membanteras kegiatan dadah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah di Daerah Meradong boleh menghubungi Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” katanya.
Oleh Earl Anek