
KUALA LUMPUR: Daripada membesar sebagai peminat K-pop, kini DOLLA, kumpulan wanita tempatan bakal berkongsi pentas dengan idola antarabangsa pada konsert K-Spark, 31 Januari ini.
Konsert berskala besar yang akan berlangsung di Stadium Merdeka itu menyaksikan DOLLA menyertai barisan bintang terkenal termasuk G-Dragon, Hwasa, DPR Ian, ITZY dan 3P.
Ahli kumpulan, Tabby, menyifatkan peluang tersebut sebagai sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata memandangkan barisan artis terlibat merupakan figura besar dalam industri muzik antarabangsa.
“Kami pun pada awalnya macam susah nak percaya yang line–up sebegini datang ke Malaysia. Kita sangat bersyukur, yang pertamanya dapat saksikan persembahan hebat mereka dan pada masa sama dapat berkongsi pentas.
“…harap-harap kita boleh represent Malaysia dengan baik di atas pentas itu nanti… we will bring something special to the table,” katanya dalam sidang media konsert berkenaan, di sini baru-baru ini.
Menurut pemilik nama sebenar Tabitha Ariel Lam itu, G-Dragon dan Hwasa sebelum ini menjadi sumber inspirasi perjalanan awal DOLLA dalam industri muzik, khususnya dari segi identiti dan persembahan pentas.

Lebih membanggakan, DOLLA menjadi antara artis tempatan yang dipilih secara peribadi oleh G-Dragon bersama-sama pasukannya, selain 3P, untuk membuat persembahan pada konsert tersebut.
Pemilihan itu bukan sahaja membuka ruang buat DOLLA memperkenalkan karya mereka kepada audiens antarabangsa, malah menjadi platform penting untuk membuktikan kemampuan artis tempatan beraksi di pentas berskala besar.
“Penonton kali ini bukan yang kenal DOLLA. Jadi, ini akan jadi peluang untuk kami perkenalkan diri dan berikan persembahan terbaik. Semoga dari situ mereka akan kenal DOLLA dan sedar ada sebuah kumpulan yang mewakili Malaysia,” kata gadis berusia 26 tahun itu.
Seorang lagi ahli, Sabronzo turut memaklumkan DOLLA akan membawakan lagu dalam bahasa Melayu pada konsert berkenaan, sebagai usaha menampilkan identiti tempatan kepada penonton luar negara.
Konsert K-Spark menghimpunkan artis serantau dan antarabangsa di satu pentas sebagai sebahagian daripada penganjuran konsert berskala besar yang menyasarkan peminat muzik K-pop di Malaysia.
Tiket boleh dibeli melalui laman web https://www.klook.com/event-detail/102000796-k-spark-malaysia-2026/ bermula esok (18 Januari) pada harga RM388 hingga RM988.
-Bernama