
LAWAS: Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan meneruskan projek membantu golongan miskin membaik pulih serta membina rumah baharu bagi kediaman yang telah uzur.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, beberapa agensi dan jabatan kerajaan telah digerakkan bagi membantu rakyat miskin yang layak memiliki kediaman yang selesa dan selamat.
Menurut beliau, pihak Majlis Daerah Lawas telah berjaya melaksanakan pembinaan rumah baharu sebanyak 20 unit dan baik pulih 13 unit. Di bawah penyeliaan Pejabat Daerah Lawas pula, sebanyak 28 unit rumah baharu telah dibina manakala 26 unit dibaik pulih.
Selain itu, bantuan ehsan turut disalurkan melibatkan tujuh unit rumah yang terjejas akibat kebakaran.
“Kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta setiap tahun bagi kerja-kerja baik pulih rumah sejak 2018. Di Lawas, projek baik pulih yang telah dilaksanakan di bawah Program Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) melibatkan sebanyak 706 unit rumah dengan perbelanjaan berjumlah RM6.99 juta. Projek baik pulih ini akan terus dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) di Skim Penempatan Semula Banting Fasa 4, Banting, di sini, hari ini.
Turut hadir Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi; Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok; ketua-ketua jabatan serta ketua-ketua masyarakat dan kaum.
Dalam pada itu, Awang Tengah turut menegaskan bahawa segala kemudahan asas di Skim Penempatan Semula Banting Fasa 4 di bawah inisiatif lama kerajaan perlu dipastikan dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam tahun ini.
Oleh Adeng Edrus