

SIBU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Juing Garai, atas khidmat bakti dan dedikasi beliau sepanjang bertugas di Daerah Sibu sebelum memulakan tugas di stesen baharu, AADK Daerah Mukah.
Satu majlis ringkas namun bermakna, ‘Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih’ telah diadakan di Pejabat AADK Daerah Sibu semalam bagi meraikan kakitangan berkenaan.
Pertukaran tersebut disifatkan sebagai satu kehilangan kepada warga kerja AADK Daerah Sibu, namun menyedari bahawa pusingan kerja adalah sebahagian daripada dinamika perkhidmatan awam bagi meningkatkan kompetensi kakitangan.
Seluruh warga kerja AADK Daerah Sibu mendoakan agar Juing terus cemerlang dalam kerjaya.
Dalam pada itu, Juing dalam ucapan perpisahannya melahirkan rasa sebak meninggalkan Sibu yang disifatkannya sebagai tempat yang banyak memberi pengalaman mematangkan kerjaya.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kenang-kenangan dan sesi bergambar bersama seluruh warga kerja AADK Daerah Sibu.
Oleh Akun Giman