
SIBU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu terus mempergiat usaha memerangi penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang di peringkat akar umbi menerusi penganjuran Program Ceramah dan Pameran Antidadah di Giatmara Lanang, Sibu Jaya, di sini semalam.
AADK Daerah Sibu dalam kenyataan di Facebook rasminya berkata, program pendidikan pencegahan itu telah dijayakan dengan kehadiran seramai 15 pelatih institusi kemahiran tersebut.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan AADK untuk memastikan golongan belia, khususnya pelajar kemahiran, mempunyai pengetahuan yang cukup sebagai benteng pertahanan diri daripada terjebak dengan najis dadah.

Menerusi sesi ceramah yang disampaikan, pelatih telah didedahkan dengan informasi terkini mengenai klasifikasi dadah dan bahaya penyalahgunaannya.
Pegawai AADK Daerah Sibu turut menekankan kepentingan memilih gaya hidup sihat demi menjamin masa depan kerjaya yang cemerlang.
Selain sesi perkongsian ilmu, program turut diserikan dengan kaunter pameran antidadah. Pameran itu memberi peluang kepada para pelatih untuk melihat replika dadah dan bahan terlarang secara lebih dekat, sekaligus memberi impak visual terhadap mesej antidadah yang dibawa.
Pihak AADK Daerah Sibu berharap program seumpama itu dapat melahirkan modal insan yang bebas daripada dadah, selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai status Dadah Terkawal 2030.
Oleh Akun Giman