

LIMBANG: Sebanyak 349 pek bantuan bakul makanan telah diagihkan kepada mangsa banjir di daerah ini, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang merangkap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah (JPBD) Limbang, Leftenan (PA) Jumaat Akasas berkata, bantuan tersebut disalurkan kepada penduduk di Kampung Lagon Limbun, Kampung Ranggu dan Kampung Tanjung yang terjejas akibat banjir.
Menurutnya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Limbang dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melaksanakan penghantaran bantuan berkenaan ke kawasan terlibat.
“Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak 61 pek bakul makanan diagihkan kepada penduduk Kampung Lagon Limbun, 108 pek ke Kampung Ranggu manakala 180 pek lagi disalurkan ke Kampung Tanjung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, operasi penghantaran bantuan melibatkan sepasukan anggota APM bersama sebuah kenderaan dan bermula pada 12.00 tengah hari.
Usaha itu bertujuan memastikan keperluan asas mangsa banjir dapat dipenuhi sepanjang tempoh bencana serta meringankan beban penduduk yang terjejas.
Oleh Adeng Edrus