BOGOTA: Sekurang-kurangnya 10 orang mati dalam dua kejadian tembakan berasingan di Colombia minggu lalu, yang disifatkan sebagai terburuk sejak perjanjian perdamaian pada tahun 2016.
Pihak berkuasa tempatan menemui empat mayat lelaki dibuang di kawasan paya bakau dekat Narino semalam dan enam pula dibunuh di kawasan Cauca, kelmarin.
Satu kumpulan bersenjata tidak dikenali dilaporkan melepaskan tembakan terhadap mereka yang menonton laga ayam sehingga menyebabkan beberapa orang turut cedera.
“Amat malang kejadian keganasan terus meningkat di daerah kami,” kata pegawai kerajaan tempatan Cauca, Francisco Ceron dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa mengaitkan tembakan itu dengan Pasukan Bersenjata Revolusi Colombia (RAFC) sebagai pihak yang perlu bertanggungjawab.
Institut Kajian Pembangunan dan Keamanan (INDEPAZ) berkata, sekurang-kurangnya 61 keganasan direkodkan di Colombia sepanjang tahun ini dengan pembunuhan terus berleluasa dalam tempoh beberapa bulan lalu.
Anggota gerila yang menolak perjanjian damai tahun 2016, pengedar dadah dan pemberontak yang masih aktif dikenali sebagai Tentera Pembebasan Nasional (NLA) dikaitkan dengan keganasan itu.
Kumpulan terbabit bertelagah untuk mengawal aktiviti perlombongan haram, ladang penghasilan kokain dan laluan perdagangan dadah ke Amerika Tengah dan Amerika Syarikat. – AFP