
SANTUBONG: Dewan Kampung Buntal akan dinaik taraf sebagai projek awal di bawah pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), hasil pendekatan turun padang bagi mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat setempat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, berkata pemilihan projek menaik taraf dewan kampung itu mencerminkan pendekatan Kampung Angkat MADANI yang memberi keutamaan kepada tindakan konkrit dan keperluan komuniti.
Menurut beliau, dewan kampung berkenaan akan berfungsi sebagai pusat aktiviti sosial, kemasyarakatan dan pembangunan komuniti, sekali gus menyokong usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat luar bandar.
“Melalui pendekatan Kampung Angkat MADANI, kita turun sendiri ke lapangan untuk melihat keperluan rakyat. Keputusan menaik taraf Dewan Kampung Buntal ini dibuat berdasarkan keperluan komuniti setempat agar kemudahan yang ada dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI KPWKM di Dewan Kampung Buntal, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan berasaskan keperluan sebenar rakyat itu membolehkan pelaksanaan pembangunan dilaksanakan secara lebih berfokus, berimpak tinggi dan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Nancy turut memaklumkan bahawa penambahbaikan infrastruktur melalui program Kampung Angkat MADANI akan diteruskan di kampung-kampung lain secara berperingkat, bergantung kepada keperluan dan keutamaan setempat.
Oleh Shikin Mahmud