
PAKAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama bagi kes wanita warga emas dikhuatiri hilang di Jalan Wak, Pakan ditangguhkan pada 4.45 petang tadi susulan cuaca hujan lebat dan keadaan yang hampir gelap.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata keputusan menangguhkan operasi dibuat hasil perbincangan bersama semua agensi yang terlibat di lokasi kejadian demi faktor keselamatan.
“Operasi SAR hari pertama terpaksa ditangguhkan pada 4.45 petang berikutan cuaca hujan lebat dan keadaan persekitaran yang hampir gelap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 1.30 petang tadi sebelum operasi SAR hari pertama dimulakan pada 3.30 petang.
“Mangsa dikenali sebagai Serian Luyoh, 67, dilaporkan hilang oleh adik iparnya selepas keluar dari rumah untuk mengambil sayur di bahagian belakang rumah di Rumah Ajai Sandin pada sekitar 11.00 pagi semalam.
“Operasi SAR hari pertama melibatkan pencarian dalam radius satu kilometer (km) dan dibahagikan kepada dua pasukan.
“Pasukan SAR terdiri daripada anggota bomba, pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Rela dan penduduk rumah panjang,” katanya.
Tambahnya, difahamkan mangsa berpakaian baju kelawar berwarna merah semasa kali terakhir dilihat oleh ahli keluarganya sebelum keluar mengambil sayur.
“Operasi SAR akan disambung semula pada keesokan hari bagi meneruskan usaha pencarian mangsa,” katanya.
Oleh Earl Anek