
SEOUL: Kumpulan mega K-pop, BTS, akan memulakan jelajah dunia sempena kemunculan semula mereka bermula April ini, menurut kenyataan label kumpulan itu hari ini.
Kumpulan muzik terbesar Korea Selatan itu berada dalam tempoh rehat sejak 2022 apabila kesemua ahlinya menjalani perkhidmatan ketenteraan kebangsaan yang diwajibkan ke atas semua lelaki berusia bawah 30 tahun.
Kesemua tujuh anggota BTS telah menamatkan perkhidmatan masing-masing tahun lalu dan kumpulan itu mengumumkan kemunculan semula mereka pada musim bunga 2026.
Melibatkan 34 bandar dan 79 persembahan, jelajah berkenaan akan menjadi jelajah tunggal terbesar pernah dilakukan oleh kumpulan K-pop dari segi jumlah konsert.
Jelajah dunia itu yang pertama dalam tempoh empat tahun akan bermula di Goyang, Korea Selatan pada 9 April, dengan dua lagi konsert di negara asal sebelum diteruskan ke Jepun, menurut kenyataan pihak pengurusan.
BTS kemudiannya akan menjelajah ke Amerika Syarikat dan Eropah, sebelum jelajah berakhir di Manila pada Mac 2027.
Label kumpulan itu turut memaklumkan bahawa lebih banyak bandar akan diumumkan kemudian, termasuk hentian tambahan di Jepun dan Asia Barat.
Pengumuman tersebut dibuat selepas agensi BTS, HYBE, memaklumkan pada tahun baharu kumpulan itu akan melancarkan sebuah album baharu pada 20 Mac sebelum memulakan jelajah.
Album berkenaan akan menjadi album pertama BTS sejak album antologi Proof, yang muncul sebagai rekod terlaris Korea Selatan pada 2022.
Saham HYBE diniagakan lebih tinggi pada pembukaan pasaran Rabu, meningkat kira-kira tiga peratus.
Sebelum menjalani perkhidmatan ketenteraan, BTS menjana lebih 5.5 trilion won (AS$3.7 bilion) setahun kepada ekonomi Korea Selatan, menurut Institut Kebudayaan dan Pelancongan Korea yang disokong kerajaan.
Jumlah itu bersamaan kira-kira 0.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tersebut.
BTS turut berkembang melangkaui negara asal mereka untuk muncul sebagai fenomena muzik global sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Mereka memegang rekod sebagai kumpulan paling banyak distrim di Spotify, serta menjadi artis K-pop pertama yang menduduki carta teratas Billboard 200 dan Billboard Artist 100 di Amerika Syarikat. – AFP