Jeremie Frimpong meraikan jaringannya, gol kedua Liverpool ketika menentang Barnley di Anfield. Foto AFP
LIVERPOOL: Dominik Szoboszlai meledak gol cantik dari jarak jauh namun turut melakukan kesilapan mudah ketika Liverpool menewaskan pasukan divisyen ketiga, Barnsley 4-1 awal pagi tadi untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan keempat Piala FA.
Kemenangan itu menyaksikan The Reds bakal berdepan satu lagi cabaran sukar apabila dijadualkan melayan kunjungan kelab Liga Perdana Inggeris, Brighton & Hove Albion di Anfield.
Szoboszlai membuka jaringan Liverpool seawal minit kesembilan menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti, selepas Barnsley hampir mengejutkan tuan rumah apabila tandukan Davis Keillor-Dunn terkena tiang gol dalam tempoh 30 saat pertama perlawanan.
Pertahanan kanan, Jeremie Frimpong, yang membuat penampilan sulung dalam Piala FA, menggandakan kelebihan Liverpool pada minit ke-36 dengan sepakan kaki kiri yang mengagumkan untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Namun, Szoboszlai kemudian mencuri tumpuan sekali lagi atas sebab berbeza apabila melakukan kesilapan mudah pada minit ke-40.
Percubaannya untuk melakukan hantaran tumit ke belakang kepada penjaga gol, Giorgi Mamardashvili, memakan diri apabila bola jatuh tepat ke kaki Adam Phillips — bekas pemain akademi Liverpool selama lapan tahun — yang tidak mensia-siakan peluang untuk merapatkan jurang.
Liverpool memastikan kemenangan milik mereka pada minit ke-84 apabila pemain gantian, Florian Wirtz, menebus kesilapan terdahulu dengan jaringan lencong ke penjuru atas gawang lawan bagi menjadikan kedudukan 3-1.
Hugo Ekitike kemudian melengkapkan malam gemilang Liverpool dengan gol keempat pada minit keempat masa kecederaan.
Liverpool, yang tersingkir secara mengejut pada pusingan keempat musim lalu kepada Plymouth Argyle, jelas tidak mengambil mudah perlawanan ini dengan menurunkan barisan pemain yang lebih kuat daripada jangkaan.
Pengurus, Arne Slot, membuat enam pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding pasukan yang terikat tanpa jaringan menentang pendahulu Liga Perdana, Arsenal, minggu lalu.
Barnsley tetap memberi tentangan sengit dan berang apabila tidak diberikan sepakan penalti pada minit ke-61 selepas Reyes Cleary dijatuhkan, namun keputusan kekal tanpa semakan VAR yang hanya digunakan bermula pusingan kelima. – AFP