
PETRA JAYA: Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan RM62 juta bagi pelaksanaan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Sarawak 2026, melibatkan 413,380 pelajar daripada 1,460 sekolah di seluruh negeri ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, penyaluran bantuan berkenaan dilaksanakan bersempena hari pertama sesi persekolahan sebagai langkah meringankan beban kewangan ibubapa dan penjaga.
Menurut beliau, bagi SMK Petra Jaya, bantuan berjumlah RM195,450 diserahkan secara simbolik kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, melibatkan 1,303 pelajar.
Selain BAP, beliau berkata kerajaan turut menyalurkan RM370,000 di bawah Inisiatif Sejahtera MADANI fasa pertama, yang diagihkan kepada 740 isi rumah di Sarawak.

“Bantuan ini melibatkan keluarga yang tersenarai dalam sistem eKasih, khususnya golongan miskin tegar, sebagai usaha berterusan Kerajaan MADANI dengan kerjasama Kerajaan Negeri dalam membantu golongan memerlukan,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan JPN Sarawak Tahun 2026 di SMK Petra Jaya, hari ini.
Beliau menjelaskan, bagi murid sekolah rendah, bantuan disalurkan dalam bentuk baucar bernilai RM500 bagi pembelian pakaian dan peralatan persekolahan.
Sementara itu, bagi pelajar sekolah menengah, Datuk Mustapha berkata kaedah penyaluran bantuan masih dalam peringkat perbincangan dan akan diperincikan kemudian.

Menurut beliau, pelaksanaan bantuan pendidikan akan diteruskan secara berperingkat dan berfasa, sejajar dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memastikan kebajikan golongan memerlukan terus terbela.
Oleh Shikin Mahmud