

BINTANGOR: Penyampaian perkhidmatan kebajikan secara terus kepada rakyat menjadi fokus utama Program Mobile Service To U anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor yang diadakan di sebuah kedai kopi di sini, baru-baru ini.
Program tersebut turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor, Datuk Ding Kuong Hiing, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mendekati masyarakat setempat melalui pendekatan turun padang.
Katanya, penganjuran program seumpama itu bertujuan memudahkan masyarakat setempat mendapatkan perkhidmatan dan bantuan berkaitan kebajikan tanpa perlu hadir ke pejabat atau agensi kerajaan.
“Pendekatan turun padang seperti ini membolehkan perkhidmatan disampaikan secara lebih cepat dan berkesan, khususnya kepada golongan warga emas yang mungkin berdepan kekangan untuk bergerak.
“Antara perkhidmatan utama yang ditawarkan dalam program tersebut termasuk permohonan Kad Kenyalang Gold (KGC) dan Program Faedah Kesihatan Warga Emas Sarawak (SCHB) bagi penduduk berusia 60 tahun ke atas.
“Program ini memberi peluang kepada warga emas mendapatkan maklumat yang tepat serta bantuan secara terus, sekali gus mengurangkan kesulitan mereka dalam urusan permohonan,” katanya ketika ditemui media.
Tambahnya, sambutan yang diterima amat menggalakkan, sekali gus membuktikan keperluan terhadap penganjuran program berasaskan komuniti seperti ini.
“SUPP Bintangor akan terus menganjurkan program seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat manfaat, khususnya dalam aspek kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Program tersebut juga dihadiri oleh ahli-ahli parti, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita SUPP Bintangor yang bersama-sama membantu melancarkan perjalanan program serta memberi khidmat nasihat kepada penduduk yang hadir.
Turut hadir, Ketua Pergerakan Wanita SUPP Cawangan Bintangor, Konselar Chieng Ming Kiong; Ketua Pergerakan Pemuda SUPP Cawangan Bintangor, Ley Chee Hua; Bendahari Pemuda SUPP Cawangan Bintangor, Kapitan Leong King Yung; Pemanca Yii Hee Sieng serta Kapitan Johnny Wong Leh Hee.
Oleh Earl Anek