
KUCHING: Situasi banjir di Sarawak menunjukkan trend peningkatan apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meningkat kepada 2,949 orang setakat 8.00 malam ini.
Menurut Laporan Bencana Negeri Sarawak, kesemua mangsa melibatkan 911 Ketua Isi Rumah (KIR) kini ditempatkan di 25 PPS yang beroperasi di empat bahagian terjejas iaitu Serian, Sibu, Bintulu dan Miri.
Bahagian Serian kekal sebagai kawasan paling terjejas dengan 17 PPS dibuka melibatkan kawasan Siburan, Serian dan Balai Ringin.

Antara PPS yang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi ialah Dewan Masyarakat Serian dengan 325 orang, diikuti Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah yang menempatkan 305 mangsa.
Beberapa PPS di bahagian itu turut merekodkan peningkatan jumlah mangsa malam ini termasuk SK Pangkalan Sorah, Stadium Tertutup Bola Keranjang, dan SK Tanah Putih, manakala Dewan Ranchan serta Dewan Kampung Slabi Entukuh dilaporkan menunjukkan trend penurunan.
Di Bahagian Bintulu, jumlah mangsa banjir turut meningkat dengan 251 orang ditempatkan di Dewan Suarah Bintulu dan 124 mangsa di Dewan SMK Sri Kemena Sebauh, manakala Balai Raya Sebauh kekal menempatkan 147 orang.

Sementara itu, di Bahagian Sibu, seramai 238 mangsa masih berlindung di PPS SK Bukit Arip, Selangau, selain pembukaan PPS baharu di Dewan SMK Bukit Assek yang menempatkan enam mangsa daripada satu keluarga.
Bagi Bahagian Miri, keadaan dilaporkan terkawal dengan tiga PPS beroperasi menempatkan keseluruhan 121 mangsa, termasuk di Masjid Darul Iman Kampung Tudan dan Pusat Komuniti Tudan.
Pihak berkuasa terus memantau keadaan paras air sungai serta cuaca semasa dan menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pemindahan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Oleh Adi Safarman